Sesi Taklimat Kemasukan Pelajar Baharu Program Sarjana Muda Sains Gunaan (Analitik Data) dengan Kepujian bagi Sesi 2025/2026
Kuantan, 1 Oktober 2025 – Pusat Sains Matematik (PSM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah mengadakan Sesi Taklimat Kemasukan Pelajar Baharu Program Sarjana Muda Sains Gunaan (Analitik Data) dengan Kepujian bagi Sesi Akademik 2025/2026 bertempat di ZDK04.
Program ini telah dihadiri oleh 61 orang pelajar baharu, pihak pengurusan PSM serta pensyarah yang mengajar program ini. Taklimat ini bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar baharu berkenaan Pusat Sains Matematik, struktur program pengajian, sistem akademik, penasihatan akademik, serta strategi pembelajaran yang berkesan bagi membantu mereka menyesuaikan diri dalam persekitaran universiti dengan lebih cepat dan yakin. Inisiatif ini juga menjadi platform penting untuk membina hubungan awal antara pelajar, pensyarah dan pihak pengurusan fakulti.



Majlis dimulakan dengan sesi pengacaraan oleh Dr. Sahimel Azwal bin Sulaiman, selaku Pengerusi Majlis, yang turut memperkenalkan pelajar-pelajar baharu. Majlis diteruskan dengan siri pembentangan modul seperti berikut.
- Modul 1: My Faculty disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Mohd Sham Mohamad, Dekan PSM, yang memperkenalkan visi, misi dan hala tuju fakulti.
- Modul 2: My Study Plan dibentangkan oleh Dr. Adam Shariff Adli Aminuddin, Ketua Program Analitik Data, yang menerangkan struktur kursus dan perancangan akademik pelajar.
- Modul 3: Academic Survival Kit disampaikan oleh Dr. Sahimel Azwal bin Sulaiman, Penyelaras Penasihatan Akademik (PA), yang memberi panduan tentang sistem penasihatan akademik dan strategi menyesuaikan diri dalam pembelajaran di universiti.


Turut diadakan ialah taklimat program mobiliti tidak berkredit ke Hebei University, China, oleh Dr. Tay Chai Jian, yang memberi inspirasi kepada pelajar untuk meneroka peluang antarabangsa.
Sesi diteruskan dengan perkongsian pengalaman daripada pelajar kohort sebelumnya, iaitu Nur Ainaa Najihah binti Abdil Shakri, Nurul Syafiqah Natasha binti Mohd Razi, Sara Khadija binti Saidin, dan Muhammad Amirul Amier bin Mohd Husni, yang berkongsi kisah perjalanan akademik serta pengalaman mereka sepanjang pengajian dalam program Analitik Data.
Seterusnya, paparan pembahagian Penasihat Akademik (PA) mengikut pelajar. Diikuti dengan Mini Amazing Race @ PSM yang bertujuan memperkenalkan fasiliti bangunan PSM dengan cara interaktif. Terdapat enam check point utama, iaitu bilik Ketua Program BSD, bilik tesis, surau B1, bilik kuliah, makmal komputer, dan bilik operasi Kelab Pelajar Mathelites. Antara aktiviti menarik di setiap check point termasuk Amazing PSM Facts, Mean It Loud, Algebra Target Shooting, Road to 30!, Telepon Rosak, dan Count Around The World!, yang menggabungkan elemen matematik, statistik, komunikasi dan kerjasama kumpulan.


Program diakhiri dengan majlis penutup serta penyampaian hadiah kepada pemenang Mini Amazing Race oleh Dekan PSM.
Sebagai penutup, pihak PSM menzahirkan harapan agar pelajar baharu dapat menyesuaikan diri dengan cepat dalam suasana pembelajaran di universiti, serta memupuk semangat ingin tahu yang tinggi, disiplin diri dan budaya kerja berpasukan. Diharapkan juga mereka akan menjadi generasi pelajar Analitik Data yang berdaya saing, beretika dan mampu menggunakan ilmu data untuk memberi impak positif kepada masyarakat serta industri.
Penulis: Dr. Sahimel Azwal Sulaiman